Quantcast
Channel: Mr. Piratz
Viewing all articles
Browse latest Browse all 144

Ulasan Penuh Nokia Lumia 920 – Peranti Windows Phone 8 Dari Nokia

$
0
0

920-spec-front-pngIanya hampir setahun selepas Nokia memperkenalkan peranti Windows Phone mereka dan aku telah pun menulis ulasan untuk peranti tersebut iaitu Nokia Lumia 800. Sejak kemunculan Lumia 800, Nokia serba sebanyak menjadi nadi utama untuk perkembangan Windows Phone. Seperti sedia maklum, Lumia 800 menggunakan sistem operasi Windows Phone 7.5 (Mango) dan kini telah dikemaskini ke Windows Phone 7.8. Bagi peranti sasaran baru Nokia iaitu Lumia 920 ianya didatangkan dengan sistem operasi baru; Windows Phone 8. Banyak penggemar telefon pintar dari pengeluar ini (Nokia) menanti-nantikan perkembangan dan penaik-tarafan baru untuk peranti terkini mereka dan untuk peranti Lumia ini ianya mempunyai teknologi penstabilan imej serta teknologi PureView seperti yang didatangkan pada Nokia 808 PureView.

Telefon Pintar HTC iaitu HTC 8X dan 8S juga didatangkan didalam sistem perasi Windows Phone 8

Mulai diperkenalkan pada September 2012, Lumia 920 menguasai segala persembahan Nokia untuk Windows Phone 8 sehingga hampir menenggelamkan peranti Lumia yang lain seperti Lumia 820. Dari segi spesifikasi, ia menyertakan cip pemprosesan 1.5GHz Snapdragon S4, skrin sebesar 4.5-inci, sokongan NFC, kebolehan pengecasan tanpa wayar, dan juga kamera 8-megapixel dengan sokongan PureView. Ia turut menyertakan bateri berkapasiti 2000mAh, membolehkan anda menggunakannya sepanjang hari tanpa sebarang masalah. Untuk skrin pula, Nokia membawakan PureMotion HD+, menawarkan gambar paparan yang lebih baik, termasuk gambar dan video yang lebih tajam berbanding kebiasaan.

content-divider

Spesifikasi Penuh Nokia Lumia 920

Spesifikasi Nokia Lumia 920
Sistem Operasi, Prosessor, GPU & RAMSistem operasi: Microsoft Windows Phone 8
Prosessor : Dual-core 1.5 GHz Krait, Snapdragon 4
GPU: Adreno 225
RAM : 1GB RAM
SkrinResolusi: 768 x 1280 piksel, 4.5 inci (~332 ppi)
Jenis: IPS LCD Capasitive Touchscreen
Lain-lain: Corning Gorilla Glass 2 & paparan PureMotion HD+ ClearBlack
Dimensi130.3 x 70.8 x 10.7 mm (5.13 x 2.79 x 0.42 in)
lumia920-dimension
Berat185 gram
KameraKamera Belakang : 8.7 MP, 3264 x 2448 piksel, Optik Carl Zeiss, Penstabilan Imej Optik, Auto-Fokus, & dual-LED flash
Rakaman Video: 1080p@30fps, & Penstabilan Video.
Kamera Hadapan: 1.3 MP, 720p@30fps
Ciri-ciri Lain: Teknologi PureView

Memori32 GB ruangan storan, tidak menyokong kad memori MicroSD
Percuma 7GB ruang storan di SkyDrive
SambunganWiFi : Wi-Fi 802.11 a/ac/b/g/n, dual-band, DLNA, Wi-Fi hotspot
Menyokong jaringan LTE/4G
Bluetooth : v3.1 with A2DP & EDR
USB: microUSB v2.0
NFC : Ya
Bateri2000mAh Li-Ion bateri (BP-4GW), tidak boleh diakses
Lain-lainSensor: Accelerometer, gyro, proximity, & compass
Radio: Tiada
GPS: Mempunyai sokongan A-GPS dan GLONASS
Cloud Storan: SkyDrive (7GB)
Audio: Dolby Headphone sound enhancement
Harga PasaranRM1999 di Nokia Retail Store.
Telah memasuki pasaran Malaysia sejak bulan Disember 2012 yang lalu.
Pilihan WarnaKuning (Yellow), Hitam (Black), Putih (White), Kelabu (Gray) dan Merah (Red)

content-divider

Sistem Operasi Windows Phone 8

WindowsPhone8

Sebelum aku melanjutkan ulasan ini secara terus ke Lumia 920, lebih baik aku mengulas serba sedikit tentang pembaharuan pada Windows Phone 8 (WP8) ini. Perbandingan ini berdasarkan peranti Nokia Lumia 800 (Windows Phone 7.8) dan Lumia 920 (Windows Phone 8). Pada WP8 ianya membawakan sokongan paparan HD, prosessor yang lebih berkuasa, sokongan kad memori (Lumia 820 menyokong kad memori), penambah-baikan tugasan pada latar (backgroud task), sokongan NFC, integrasi VoIP, integrasi SkyDrive secara natif, dan teknologi Nokia Maps.

Integrasi peranti adalah sasaran utama Microsoft bagi produk mereka iaitu Windows dan Windows Phone. Jika edisi sebelum ini, Windows 7 dan Windows Phone 7.5/7.8 tidak berintegrasi sesama lain. Bagi edisi kali ini, Microsoft cuba mendekatkan penggunakan dengan paparan dan pengalaman yang hampir sama tidak kira anda menggunakan telefon pintar WP8 atau Windows 8.

Untuk Windows Phone 8, anda tidak lagi memerlukan aplikasi Zune untuk melakukan pemindahan data. Anda hanya perlu menyambungkan peranti Lumia pada komputer/PC dengan menggunakan kabel USB. Anda boleh mengakses terus data atau fail dari peranti secara terus di My Computer atau anda boleh menggunakan aplikasi alternatif iaitu Windows Phone App for Desktop

live-tileDengan paparan skrin utama (homescreen) WP8 yang mempunyai lebih pilihan untuk disesuaikan dan pengguna dapat menukar saiz Live Tile dan gambar skrin kekunci. Paparan Live Tile mula diperkenalkan pada Windows Phone 7.5 dan kini dengan WP8 pengguna dibawa kepada pilihan yang lebih banyak kerana pengguna dapat menukar saiz tile tersebut kepada 3 jenis saiz iaitu kecil, sederhana dan besar mengikut citarasa penggunanya. Begitu juga dengan hampir 20 pilihan warna asas Live Tiles untuk dicuba.

Kini Nokia Lumia yang menggunakan Windows Phone 7.5 boleh mengemaskini sistem operasi mereka kepada Windows Phone 7.8 yang membawakan pelbagai pembaharuan antaranya paparan Live Tile. Langkah kemaskini boleh merujuk artikel berikut.

Bagi aplikasi pula, WP8 didatangkan dengan Internet Explorer 10 yang membawakan pelayaran web lebih baik dan pantas, sokongan HTML5 yang baik berbanding IE9 pada Windows Phone 7.5. Jika anda menggunakan aplikasi Skype, ianya akan diintegrasi secara penuh untuk panggilan video. Untuk People Hub pula, ianya dikemaskini dan menambah fungsi Rooms dengan ciri-ciri yang lebih menarik. Rooms membenarkan pengguna WP8 mengakses dan mengubahsuai data yang dikongsi untuk mereka yang telah dijemput ke dalam sesuatu kumpulan (Room) dan menyertai kumpulan tersebut. Ianya termasuk kalendar, senarai to-do, atau album foto yang mana kesemua ahli kumpulan boleh mengakses informasi dan data yang dikongsi dan disimpan didalam kumpulan itu walaupun ianya tidak disimpan didalam peranti mereka.

Kids-Corner

Penambahan aplikasi/ciri baru seperti Kid’s Corner adalah satu ciri yang bagus dan berguna dengan membolehkan anda membina satu kawasan baru untuk ‘tetamu‘ peranti anda. Anda boleh menetapkan apa saja yang hanya boleh diakses pada bahagian itu seperti senarai kenalan (Contacts), aplikasi, kamera dan lain-lain. Ciri ini juga bagus untuk mereka yang mempunyai anak kecil kerana anda boleh memilih beberapa aplikasi sahaja yang boleh diakses oleh mereka. Bukan sahaja untuk mereka yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak kecil, tetapi bagi mereka yang selalu menjadi mangsa rakan-rakan yang menggunakan telefon anda dan mengakses akaun Facebook, Twitter milik anda tanpa sebarang kebenaran.

content-divider

Perkakasan & Reka Bentuk

Jujur aku katakan disini, semasa pertama kali memegang telefon pintar Lumia 920 ini, aku dapat merasakan dimana peranti ini boleh dikatakan berat dan besar. Seperti yang sedia maklum, aku menggunakan peranti Nokia Lumia 800 dan HTC One V yang hanya mempunyai saiz skrin yang tidak melebihi 4 inci. Tetapi untuk Lumia 920 ini ianya dilengkapi dengan skrin sebesar 4.5 inci dengan berat 185 gram dan setebal 10.7 mm. Walaupun dengan saiz dan berat sebegitu, aku masih merasakan saiz ini selesa dipegang dan digunakan walaupun menggunakan sebelah tangan sahaja. Pada Lumia 920 ini rekaan skrin sedikit berbeza dimana skrinnya sedikit melengkung seperti Lumia 800 dan tidak menggunakan skrin rata seperti Lumia 900. Ada rakan yang cuba membandingkan peranti ini dengan peranti mereka dan mengatakan peranti ini tebal dan berat. Pada pendapat aku, peranti ini direka bentuk dengan sedikit tebal bagi memuatkan bateri yang lebih besar serta memberi ruang untuk bahagian pengecas tanpa wayar (wireless charging) dan perkakasan kamera PureView.

wirelesscharging

Kita dapat lihat dimana, pihak Nokia cuba menyelaraskan reka bentuk peranti mereka sejak terlancarnya Nokia N9. Mungkin ini bertujuan bagi mengelakkan aduan dan saman mengenai rekaan mereka dari pengeluar telefon pintar yang lain. Lumia 920 terdiri daripada kerangka unibodi polikarbonat yang merangkumi semua sudut peranti ini. Atas dan bawah direka dengan permukaan yang rata dan tidak mempunyai bucu, manakala bahagian jack earphone ditetapkan ditengah-tengah bahagian atas serta port microUSB ditengah-tengah bahagian bawah peranti dan diapit oleh lubang-lubang kecil yang dikhaskan untuk pembesar suara dan mikrofon. Slot ruangan bagi mikro-SIM berada pada bahagian sudut atas peranti dan memerlukan pin/kekunci untuk membuka/mengeluarkan tray mikro-SIM. Seperti peranti Lumia yang lain, Lumia 920 juga menyediakan butang kawalan pada bahagian kanan yang menyertakan butang kawalan suara, butang kuasa dan butang pantas untuk kamera.

sim-card

Bahagian skrin yang menggunakan skrin Gorilla Glass yang melengkung bagi memuatkannya kedalam bentuk keseluruhan peranti ini. 3 kekunci biasa didapati pada peranti Windows Phone berada pada bahagian bawah skrin. Untuk kekunci ini ianya berupa 3 butang kapasitif dan mempunyai cahaya putih pada latar bagi memudahkan pengguna untuk melihat semasa berada di kawasan yang mempunyai kadar cahaya yang rendah. Seperti yang diperkatakan sebelum ini, peranti ini mempunyai sokongan pengecas tanpa wayar. Tetapi pengecas tanpa wayar tersebut dijual berasingan dan harganya agak mahal jika di Malaysia. Selain itu, Lumia 920 ini tidak ketinggalan untuk memberi sokongan terhadap NFC (Near Field Communication) yang berfungsi untuk berkongsi pautan laman web, kenalan, dan lain-lain tanpa sebarang masalah.

content-divider

Paparan Skrin

Untuk Lumia 920 ini pihak Nokia menggunakan paparan skrin IPS LCD berbanding paparan skrin AMOLED yang terbina pada Lumia 900. Dengan bersaiz 4.5 inci bersama paparan 1280 X 768 ianya dinamakan PureMotion HD+. Selain dari itu, dengan ketumpatan piksel sebanyak 332ppi (pixels per inch) bermakna peranti ini mampu membawakan paparan yang lebih tajam dan jelas. Dengan ketumpatan piksel sebanyak 332ppi ianya sedikit lebih tinggi jika dibandingkan dengan skrin iPhone 5 Retina Display yang hanya menyumbang kepada 326ppi. Ya, kami tahu ianya sangat sedikit dan mungkin tidak dapat dibezakan atau dibandingkan.

supertouch

Penggunaan di kawasan luar/bercahaya tidak menjadi masalah kerana sensor pada peranti ini akan melakukan pengubahsuaian secara automatik terhadap nilai kecerahan, kontras, dan komposisi warna. Ini membantu anda melihat gambar atau laman web dengan jelas. Selain dari itu aplikasi dan permainan juga mudah digunakan/dimain walaupun dibawah cahaja yang terang. Malah, pihak Nokia juga menyediakan ciri baru pada skrin dimana ianya masih boleh digunakan walaupun dengan memakai sarung tangan. Bukan setakat itu sahaja, dari percubaan kami, skru, kunci, sudu, pisau dan pen juga boleh digunakan tanpa sebarang masalah. Kami berterima kasih kepada teknologi Gorilla Glass yang memberi perlindungan dari sebarang calar.

content-divider

Kamera

Kita lupakan insiden yang berlaku selepas pelancaran Nokia Lumia 920. Dari spesifikasi kamera diatas, pasti anda tertanya-tanya apakah itu sebenarnya PureView. Sebenarnya kami sendiri kurang memahami mengenai teknologi PureView itu sendiri. Tetapi pada Lumia 920 ianya menekankan 2 aspek penting pada kameranya iaitu prestasi pada cahaya rendah (low-light) dan penstabilan imej. Nokia memanggilnya “Floating Lens Technology“. Ianya pertama didunia dimana struktur optik pada Lumia 920 dilengkapi dengan spring halus yang berfungsi menyerap dan meperlahankan pergerakan kanta/kamera semasa proses rakaman. Dengan merendahkan kadar gegaran, kamera mampu membuka ‘shutter‘ dengan lebih lama, menyerap lebih cahaya dan memberi kualiti gambar yang cerah dan jelas. Untuk mengulas lebih lanjut mengenai kamera termasuk ISO, noise dan lain-lain bukanlah kepakaran aku. Jadi dibawah adalah beberapa gambar hasil tangkapan aku menggunakan kamera Lumia 920.

Untuk percubaan mengambil gambar low-light, aku berpuas hati akan kualiti dan kemampuan kamera Lumia 920 ini. Rakan aku yang lebih arif mengenai kamera juga bersetuju dengan pendapat aku. Untuk paparan lebih jelas, aku juga memuat naik gambar diatas pada halaman Facebook MrPiratz.Com

Bagi rakaman video pula, aku sendiri kagum dengan teknologi penstabilan imej (OIS) yang disertakan. Fungsi ini menstabilkan rakaman serta membenarkan anda bergerak kemana saja tanpa merosakkan kualiti video yang dirakam. Biarpun ianya masih belum dapat mengalahkan sebuat camcorder, ianya adalah ciri yang terbaik untuk sesebuah kamera pada telefon pintar. Selain lensa kamera yang digelar ‘terapung‘ ia juga kemampuan merakam video sehingga 1080p dengan HD penuh. Dibawah adalah contoh rakaman bagaimana ciri penstabilan imej (OIS) berfungsi, dan perbandingan kualiti video pada Nokia Lumia 800 dan Lumia 920.

Nokia juga menawarkan aplikasi ekslusif untuk peranti Lumia mereka. Dengan memperkenalkan fungsi Lenses, ianya membenarkan anda melancarkan aplikasi kamera pihak ketiga secara terus melalui bahagian tetapan. Dengan ini, pengguna boleh mengubah jenis efek pada kamera, jenis lensa dan lain-lain. Antara aplikasi yang boleh anda cuba adalah Bing Vision, Blink, Cinemagraph, FishEye Lens dan lain-lain.

wp_ss_20130320_0003

content-divider

Prestasi & Jangkamasa Bateri

Seiring dengan teknologi sekarang, untuk peranti Lumia 920 ini mula menggunakan pemproses dual-core. Dilengkapi dengan prosessor 1.5 GHz Snapdragon S4 ini pengalihan lebih cepat dari satu aplikasi ke aplikasi yang lain, menyokong lebih banyak permainan, dan memapar kandungan sesuatu web lebih pantas. Dengan sistem operasi Windows Phone 8 yang serba baru, ianya menunjukkan peningkatan dalam animasi dan tatalan yang sungguh responsif. Selain dari ini, sistem operasi ini lebih stabil berbanding sebelumnya. Pasti pihak Microsoft telah bekerja keras untuk meningkatkan prestasi tatalan (scroll) dan animasi untuk sistem operasi ini walaupun adakalanya berlaku beberapa lengah masa semasa membuka aplikasi tetapi apabila anda swipe atau tap ianya serta-merta memberikan respon. Malah sesetengah pantas dibuka apabila ianya berada pada latar.

nokia-musicPembesar suara pada Lumia 920 ini agak lantang walaupun apabila anda memainkan muzik ianya tidak memperdengarkan kualiti bunyi seperti yang diharapkan. Bagi kualiti sambungan internet pula aku berpuas hati dengan kepantasan ianya membuka sesuatu laman web. Walaupun perkhidmatan dari telco yang aku gunakan masih belum memperkenalkan perkhidmatan LTE, tetapi kualiti internet dan penerimaan signal agak bagus.

920-bateriBagi jangkamasa bateri pula, aku tiada maklumbalas negatif yang boleh diperkatakan disini. Selama 2 minggu menggunakannya, secara purata kapasiti bateri mencecah 40% dengan penggunaan aku di tempat kerja (~10 jam). Pada hari pertama aku menyedari dimana untuk mengekalkan penggunaan bateri lebih lama anda perlu mematikan hampir kesemua sensor atau perkakasan lain seperti Bluetooth, GPS, NFC dan mengurangkan kadar kecerahan skrin. Dari percubaan aku menjalankan aplikasi yang menggunakan sambungan 3G secara terus menerus, kapasiti bateri mencecah ke tahap 10% dalam masa hampir 5 jam.

content-divider

Aplikasi & Perisian

nokia-hereNokia adalah satu-satunya pengeluar telefon yang mengfokuskan pada sistem operasi Windows Phone 8 ini. Mereka dengan agresif menambah aplikasi yang khas untuk peranti keluaran mereka. Ini menyebabkan Nokia menjadi mereka yang ingin mencuba atau menggunakan peranti WP8. Dan aku sendiri menyarankan kepada mereka yang ingin memiliki peranti berasaskan WP8 dengan menggunakan peranti dari Nokia iaitu keluarga Lumia. Dengan didatangkan aplikasi yang eklusif untuk peranti mereka saja seperti Nokia Drive+, Nokia Transit, Nokia City Lens dan lain-lain lagi. Peningkatan terbesar adalah pada Nokia Maps, yang hampir menutup fungsi Bing Maps. Dengan menawarkan keupayaan untuk menyimpan peta secara offline, tetapi anda juga mendapat peta tertutup (indoor) untuk tempat yang popular, integrasi augmented relity, dan mempunyai panduan suara untuk navigasi (turn-by-turn). Nokia juga telah mengubah sedikit paparan dengan menawarkan lebih pilihan untuk lokasi yang dipilih.

Masalahnya, pada Windows Phone kurang sokongan aplikasi popular pada sistem operasi yang lain. Ianya bernasib baik jika ada pembangun bebas membangunkan aplikasi alternatif berdasarkan aplikasi popular tersebut. Dan hari ini kelihatan Nokia cuba mendapatkan sokongan aplikasi perkongsian gambar popular iaitu Instagram untuk Windows Phone dengan memperkenalkan aplikasi #2InstaWithLove. Dan aku menjangka jika Nokia berjaya mendesak pihak Instagram mengeluarkan aplikasi tersebut, ianya pasti menjadi aplikasi khas buat peranti Nokia sahaja.

content-divider

Konklusi

Kekecewaan yang dialami pada Windows Phone kini mungkin sedikit terubat dengan kemunculan versi Windows Phone 8. Walaupun ianya masih mempunyai kecacatan dan kekurangan dari segi aplikasi Nokia berjaya membawa sistem operasi WP8 ini ke peringkat baru dengan baik dengan memperkenalkan Lumia 920. Penambahbaikan ciri multitasking, sokongan beberapa fungsi baru, dan paparan skrin Live Tile memberi nafas baru pada WP8.

Walaupun Lumia 920 ini dianggap besar dan berat oleh sesetengah orang, tapi dengan reka bentuk unibody yang menambat hati, paparan skrin yang lebih jelas dan tajam serta kamera yang berfungsi dengan baik untuk cahaya rendah tidak boleh dipandang rendah begitu sahaja. Ciri penstabilan imej dan PureView yang diperkenalkan membuka lebaran baru bagi teknologi telefon pintar didunia. Mungkin suatu hari nanti ianya menjadi satu kemestian untuk setiap telefon pintar yang dipasarkan. Walaupun adakalanya aplikasi dan permainan padanya boleh dikatakan ketinggalan zaman, tetapi pada sesiapa yang berminat untuk mencuba ekosistem telefon pintar dari Microsoft ini, adalah berbaloi jika anda memilih Nokia.

920-nokia-lumia-hero-2-jpg

Sementara itu, disamping kemajuan teknologi penstabilan imej, Nokia berjaya membawa lembaran baru dengan memperkenalkan Nokia Lumia 920 yang menambahbaik kualiti skrin dan komposisi warna serta kontras dari sensor ambient light yang baru. Malah dengan pengenalan skrin sentuk kapasitif yang boleh dikendalikan dengan sarung tangan juga boleh dibanggakan. Aku bersetuju jika Nokia dinobatkan sebagai pengeluar telefon pintar paling inovatif dengan pengenalan beberapa ciri-ciri dan perkakasan baru untuk telefon pintar beserta ciri pengecas tanpa wayar walaupun aku tidak berpeluang untuk mencubanya.

content-divider

Sekian, dari kami di MrPiratz.Com dengan ulasan Nokia Lumia 920 yang dilengkapi dengan sistem operasi Windows Phone 8. Terima kasih kepada pihak Nokia Malaysia yang memberikan kami peranti Lumia 920 untuk dicuba untuk tempoh 2 minggu. Artikel ini ditulis tanpa sebarang bayaran dari pihak Nokia atau mana-mana pihak. Segala kekurangan untuk ulasan kali ini kami memohon maaf kerana ini sahaja yang mampu kami coretkan pada ulasan kali ini. Jika ada sebarang penambahan akan dimasukkan kelak. Terima kasih.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 144