Apabila kita melihat kepentingan komunikasi dan rangkaian sosial, telefon pintar telah menjadi pilihan utama setiap orang didalam kehidupan hari ini. Bila disebut mengenai telefon pintar, pelbagai jenama dan spesifikasi ditawarkan yang menjadi pilihan, ini tidak termasuk satu jenama atau pengeluar telefon pintar yang beroperasi di China iaitu Xiaomi. Walaupun jenama ini masih belum mendapat tempat dan pilihan utama pengguna telefon pintar seluruh dunia, tetapi di negara-negara yang pihak Xiaomi telah mula memasarkan produk mereka, ianya serba sedikit memberi persaingan sengit kepada jenama yang lebih ternama.
Ramai yang mula sedar mengenai peranti Xiaomi sebaik sahaja peranti Xiaomi Mi 3 mereka dilancarkan. Jika dilihat di Malaysia, kehadiran Xiaomi Mi 3 menjadi pilihan kerana harga pasarannya lebih murah dan mempunyai spesifikasi serta kualiti yang sama atau lebih baik dari peranti yang dijual lebih mahal dari peranti Xiaomi Mi 3 itu sendiri.
Pada mulanya, Xiaomi Mi 3 mula dijual di negara ini pada harga RM889 dan kemudiannya dijual secara lebih murah pada harga RM769. Walaupun pihak Xiaomi hanya membawa peranti ini didalam pilihan warna Kelabu Metalik (Metallic Gray) ianya terjual didalam masa yang singkat.
Spesifikasi Penuh
Sistem Operasi, Prosessor, GPU & RAM | Sistem Operasi : Android 4.4.2 (Versi terkini MIUI-KXDMIBF23.0) Prosessor : Quad-core 2.3GHz (Qualcomm Snapdragon 800 8274AB) GPU: Adreno 330 RAM : 2GB RAM |
Skrin | Resolusi: 1080 x 1920 piksel (Full HD 1080p) Saiz : 5 Inci Jenis: IPS LCD Capasitive Touchscreen Perlindungan skrin : Corning Gorilla Glass 3 (Dikatakan hanya untuk versi Xiaomi Mi 3 TD) |
Kamera | Kamera Utama (Belakang) : 13 MP, 4128 x 3096 piksel, autofokus & Dual-LED flash. Stacked CMOS Aperture : f2.2 Wide-angle : 28mm Kamera Hadapan : 2MP Rakaman video : 1080p@30fps *Kedua-dua kamera menyokong rakaman video sehingga 1080p |
Memori | Storan dalaman berkapasiti 16GB. (Terdapat versi 64GB, tidak dijual di Malaysia) Tidak menyokong tambahan kad memori. |
Sambungan | WiFi : Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, dual-band, Wi-Fi Direct, Wi-Fi hotspot Tidak Menyokong jaringan LTE/4G Bluetooth : v4.0, A2DP USB: microUSB v2.0. Juga menyokong USB On-The Go NFC : Ya |
Bateri | 3050 mAh Li-Ion. Tidak boleh diakses. |
Harga Pasaran | RM769. Hanya dijual di Mi.Com/MY |
Pilihan Warna | Silver Gray |
Lain-lain | Sebuah peranti yang menggunakan paparan antaramuka MIUI. Terdapat berbagai sensor seperti Accelerometer, gyro, proximity, compass, & barometer |
Reka Bentuk
Sejak telefon pintar Mi dilancarkan 3 tahun lepas, reputasi Xiaomi meningkat kerana menghasilkan peranti Android yang mempunyai kualiti yang bagus, termasuk peranti Xiaomi Mi 3. Semasa pertama kali kami melihat dan menggunakannya, kami kagum akan reka bentuk dan kualiti penghasilannya. Dibina menggunakan kerangka aloi magnesium-aluminium serta disadur dengan 3 lapisan termal grafit, kami merasakan ianya kukuh dan ringan apabila memegangnya. Walaupun ada yang mengatakan reka bentuk peranti Mi 3 ini kelihatan seperti telefon Lumia, pada kami ianya senang dikendalikan walaupun mempunyai ketebalan 8.1mm dan kelihatan elegan. Tetapi dengan permukaan kerangka yang agak licin ianya perlu penjagaan yang teliti bagi mengelakkannya terjatuh atau tergelincir secara tidak sengaja semasa mengendalikan peranti ini.
Pada bahagian bawah peranti terletaknya pembesar suara dan juga port mikro USB. Di sebelah kanan, terdapat butang kuasa dan butang kawalan suara sama seperti peranti Lumia. Manakala di bahagian atas terdapat slot kad SIM dan jack audio. Untuk kad SIM, di Malaysia pihak Xiaomi menawarkan bekas SIM (SIM Tray) dari jenis mikro SIM. Tetapi, pengguna juga boleh membeli bekas SIM dari jenis mini SIM atai Nano SIM. Manakala butang menu navigasi menggunakan butang sentuh kapasitif yang mempunyai LED pada bahagian latar.
Walaupun begitu, pilihan bekas SIM Mini atau Nano masih belum ditawarkan secara rasmi di Malaysia, tetapi anda boleh dapatkannya di beberapa laman jual beli atas talian yang lain
Skrin
Dengan dilengkapi paparan skrin 5 inci Full HD IPS LCD dari LG/Sharp memberikan ketumpatan skrin kepada 441ppi beserta perlindungan dari Corning Gorila Glass 3. Kami mendapat maklumat, untuk versi Xiaomi Mi 3W (Qualcomm Snapdragon) tidak dilengkapi dengan perlindungan Gorilla Glass. Ianya hanya untuk peranti versi Xiaomi Mi 3TD (Nvidia Tegra). Penghasilan warna adalah kelihatan selesa dan penghasilan warna diselaraskan untuk suhu warna dan kepekatan bagi memaparkan hasil yang paparan yang tidak menyakitkan mata. Selain dari itu, penggunaan panel IPS LCD membantu pengguna melihat pada paparan skrin pada suasana hari yang cerah. Begitu juga dengan kadar responsif sentuhan yang lancar digunakan dan terdapat mod sarung tangan.
Paparan Antaramuka (UI)
Ketika ini, Xiaomi Mi 3 ini telah menggunakan Android dari versi 4.4.2 KitKat bersama-sama paparan yang telah dipotimasikan untuk peranti Xiaomi yang lebih dikenali sebagai MIUI V5. Walau bagaimanapun, MIUI juga boleh digunakan pada peranti Android lain tetapi ianya adalah ROM yang telah diubahsuai (Custom ROM) bagi menyokong peranti tersebut. Untuk paparan utamanya, MIUI tidak menyertakan app drawer seperti paparan UI peranti lain. Ini bermakna, ke semua aplikasi dan widget akan berada pada paparan utama yang dikenali sebagai MIUI Desktop.
Bagi mereka yang mahu mencuba paparan MIUI, anda boleh memuat turun custom rom untuk peranti anda di en.miui.com/download.html
Selain dari itu, pada MIUI terdapat ciri-ciri yang unik antaranya bermula dari skrin kekunci, font, ikon, paparan antaramukanya dan boot boleh diubah suai oleh pengguna mengikut cita rasa mereka sendiri. Segala pengubahsuaian, ini boleh didapati pada aplikasi tema yang disambungkan terus ke Xiaomi Store.
Selain dari pilihan tema yang pelbagai, MIUI juga mempunyai ciri-ciri yang memudahkan anda menyusun ikon-ikon, dan widget pada paparan utama. Malahan, pada MIUI juga didatangkan dengan ciri keselamatan terserta (built-in) seperti Cleaner, Blocklist, Data Usage, Power, Virus Scan dam Permission.
Kami tidak mahu bercerita panjang mengenai MIUI. Kini MIUI masih didalam versi ke 5, dan dikatakan pada Oktober ini Xiaomi akan mengemaskini MIUI ke versi ke 6 untuk perantinya.
Kamera
Seperti peranti yang kami telah ulas pada artikel lepas iaitu Gphone Evo, Xiaomi Mi 3 juga menggunakan kamera utama/belakang sebesar 13MP. Berkeupayaan merakam gambar sehingga 4128 x 3069 piksel dan video bersaiz 1080p @ 30fps. Kamera belakang yang dibina oleh Sony ini boleh kami perkatakan disini menghasilkan rakaman gambar serta video yang memuaskan. Dengan dilengkapi kanta yang mempunyai lensa fokus ƒ/2.2 agak mmbantu ketika merakam gambar pada persekitaran yang kurang cahaya walaupun pun hasil rakaman tidaklah begitu baik, tetapi melalui pengalaman kami, ianya tidaklah menghampakan. Selain dari ciri-ciri biasa, aplikasi kamera peranti ini juga didatang dalam pelbagai mod dan penapis (filter). Jadi pengguna tidak perlu memasang aplikasi pihak ketiga untuk melakukan perkara sedemikian.
Berikut adalah antara hasil dari rakaman gambar yang diambil dari peranti Xiaomi Mi 3. Untuk resolusi sebenar anda boleh ke pautan ini.
Bateri
Didatangkan dalam kapasiti 3050mah, ianya boleh mencapai tahap penggunaan lebih dari 8 jam atau lebih bergantung kepada penggunaan kami. Walaupun itu, selepas kemaskini terbaru pihak Xiaomi telah menggabungkan mod Balance dan Battery Saving ke dalam satu mod, ianya masih tidaklah mengubah jangka hayat peranti kami dengan begitu ketara.
Penanda Aras (Benchmark)
Kami jarang melakukan ujian penanda aras kepada peranti yang kami ulaskan sebelum ini. Ini kerana datanya berubah setiap masa dan kami kurang mempercayainya. Bagi mereka yang mahukan rujukan melalui keputusan penuh penanda aras, sila rujuk pada gambar dibawah.
Rumusan
Bagi mereka yang masih tercari-cari peranti yang berkuasa, saiz skrin yang lebih besar dan yang lebih penting iaitu harga pasaran yang murah inilah peranti yang bersesuaian untuk anda. Jika anda masih menafikan perkara tersebut, dan membandingkan degan peranti yang lain seperti Samsung, HTC atau Sony, kami tetap mempertahankan peranti ini. Ini kerana kehadiran peranti Mi 3 yang mempunyai spesifikasi tinggi pada harga yang lebih murah menyemarakkan lagi peperangan harga peranti-peranti yang setaraf dengannya. Ianya amat berbaloi untuk dimiliki. Walaupun kemaskini terkini (v23) mempunyai pelbagai bug, tetapi kami tidak mengalami sebarang masalah. Mungkin pada mereka yang pertama kali menggunakan MIUI pasti mengambil masa yang lama untuk memahaminya.
Bagi mereka yang memiliki peranti atau produk dari Xiaomi, anda boleh mengikuti komuniti Xiaomi Malaysia di Facebook (Mi Fans Malaysia). Dan kepada yang tercari-cari beberapa aksesori untuk peranti anda, boleh rujuk Xiaomi Malaysia Marketplace. Pada mereka yang bertanya mengenai Xiaomi Redmi Note kepada kami, maaf kami tidak memilikinya.